Suprizal Tanjung's Surau

Berdoa Bekerja & Berguna untuk Semua

Caping Dikenalkan Orang India

Caping dipercayai telah diperkenalkan di negara ini oleh orang India sejak zaman Seriwijaya iaitu sekitar kurun ketujuh hingga ke-13 Masihi. Ia digunakan dengan meluas oleh kanak-kanak perempuan di utara dan di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Penggunaan caping di negeri-negeri lain tidaklah begitu meluas. Memang ada bukti yang menunjukkan bahawa caping turut digunakan di daerah-daerah lain di dunia tetapi setakat ini tidak ada dokumentasi untuk menjadi bukti atau rujukan yang berwenang tentang perkara ini. Jadi tulisan ini hanya menumpukan perhatian terhadap bahan-bahan yang ada di muzium dan beberapa koleksi perseorangan sebagai perbandingan.

Disebabkan tiadanya bahan bertulis, maka maklumat yang ada banyak merujuk kepada kajian lisan sahaja yang telah dikumpul daripada orang-orang tua di kampung yang mengetahui serba sedikit tentang caping. Berikut ialah maklumat yang diberikan oleh para informan tersebut.

Kira-kira 300 tahun yang lalu iaitu sebelum pemerintahan Long Yunus di Kelantan (1763-1798), tukang-tukang perak tempatan telah diberi peluang oleh sultan untuk membentuk sebarang ukiran tanpa had masa. Kesannya karya-karya yang halus, teliti dan bermutu tinggi telah dihasilkan. Keadaan ini berterusan di sepanjang pemerintahan baginda dan mendapat galakan yang secukupnya dari istana.

Penduduk di kebanyakan tempat sering mengharapkan agar anak perempuan mereka dapat membantu kerja-kerja di rumah manakala anak dan kaum lelaki selalunya menghabiskan waktu siang menangkap ikan di laut. Justeru itu anak gadis dianggap sebagai “tulang belakang keluarga”.

Sudah menjadi kebiasaan bagi suami isteri bernazar. Situasi ini telah menyebabkan ramai ibu bapa yang bernazar untuk mendapatkan anak perempuan dan sebuah caping telah ditempah khas untuknya. Anak yang bakal dilahirkan akan dipakaikan dengan caping berkenaan dalam satu majlis ringkas setelah berumur satu tahun. Jika anak itu dilahirkan dalam keluarga diraja, capingnya diperbuat daripada emas atau campuran emas dan perak.

Bagaimanapun bukanlah satu hal yang luar biasa jika tukang disuruh menggunakan “kulit karah” atau kulit kura-kura untuk membuat caping. Orang biasa dan mereka yang tidak berkemampuan lebih suka menggunakan perak atau tembaga untuk membuat caping. Keluarga yang miskin seperti nelayan dan petani biasanya membuat caping sendiri daripada tempurung dihiasi dengan ukiran yang sederhana. Setengah-setengahnya pula berpuas hati dengan hanya mengunakan kulit kerang atau kayu yang rata.

Cara memakai caping berbeza menurut taraf dan kedudukan sebuah keluarga. Bagi kerabat raja ada beberapa perkara harus dipatuhi terutama sekali dalam memilih tali yang digunakan untuk mengikat caping di pinggang. Tali-tali yang berwarna putih, kuning, merah, hijau dan ungu dikhaskan untuk kerabat diraja sahaja. Manakala rakyat pula dilarang menggunakan warna kuning.

Bagi orang bukan Melayu, tali berwarna hitam pula kerap digunakan. Kanak-kanak lelaki dan perempuan menggunakan caping ketika dia sudah boleh berdiri dan berjalan tanpa dipimpin iaitu ketika berumur satu tahun empat bulan.

Tatacara majlis memakai caping boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja yang tahu tentang istiadat itu walaupun selalunya ia dilakukan oleh bomoh. Cara menyediakan upacara ini berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain dan dari seorang bomoh ke seorang bomoh yang lain. Istiadat menggunakan caping di kalangan anak-anak kerabat diraja dimulakan dengan merenjis daun emas bercampur tepung tawar untuk memuja semangatnya.

Orang kebanyakan pula hanya menepung tawar serta diiringi dengan jampi yang dibacakan oleh bomoh. Kenduri kecil biasanya diadakan terlebih dahulu untuk memikat semangat supaya datang ke tempat majlis memakai caping itu dijalankan. Hidangan yang disediakan biasanya terdiri daripada tiga ulas nangka, tiga jenis buah-buahan tempatan, tiga buku garam, tiga sisir pisang nangka, satu sisir pisang raja dan dua batang lilin lebah.

Persembahan ini diletakkan di dalam bekas khas yang dianyam daripada daun pandan dan diletakkan di satu sudut terpilih yang diawasi berhampiran dengan tempat perasapan. Apabila semua persiapan telah disediakan kemenyanpun dibakar.

Seterusnya bomoh akan membacakan jampi serapahnya. Jika dia seorang yang alim pastilah bacaannya dipetik daripada surah A1-Quran, tetapi jika seorang bomoh biasanya jampinya terdiri daripada campuran beberapa mantera dan serapah yang kadangkala sukar dimengerti oleh orang biasa.

Misalnya:
Bismillah Rahmani – Rahim Bismillah nekoriti-nab roh – mane, ro ti-ne,
roh-him Ne kuli saitul jut-jini Kianat kiauk, ya kuk dut.

Mantera ini dapat difahami ertinya sebagai “menjaga anak itu daripada gangguan syaitan di samping mendoakan supaya dia dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan sentiasa berada dalam keadaan sihat”.

Selepas itu bomoh akan mengikatkan caping ke pinggang anak tersebut, diikuti dengan bacaan doa selamat dan menjamah hidangan. Caping biasanya diikat di pinggang dengan menggunakan tali berwarna hitam yang dipercayai boleh mengelakkan sebarang bencana daripada menimpa diri pemakainya. Caping tersebut akan dibuka semula apabila kanak-kanak itu sudah pandai menyarung pakaiannya sendiri. Namun demikian kerana telah biasa memakai caping dia akan berasa tidak lengkap tanpa memakainya walaupun sudah pandai memakai kain.

Paling akhir kanak-kanak memakai caping yang diketahui ia1ah semasa pemerintahan Sultan Mohamed IV (1899-1920) di Kelantan. Selepas itu caping tidak digunakan lagi. Caping yang bercorak bunga-bungaan dipakai oleh kanak-kanak perempuan manakala yang bertanda salib untuk lelaki. Ini adalah simbol yoni bagi orang India yang melambangkan kemaluan lelaki. ***

Sumber dipetik dari:

http://malaysiana.pnm.my/ ,http://melayuonline.com/ dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka bertajuk “Barang Kemas Melayu Tradisi” oleh Mohd Kassim Haji Ali.

http://hiassolekmelayucaping.blogspot.co.id/

June 30, 2016 - Posted by | Minangkabau Pagaruyung Sumbar

No comments yet.

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: